PULAU LANGKAWI, 14 Ogos 2011 – Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Langkawi menganjurkan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Daerah Langkawi 2011 bertempat di  perkarangan tempat meletak kereta Bangunan Tabung Haji Langkawi. Tetamu jemputan yang hadir ke program ini terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan Agensi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Langkawi (KPKK) serta Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Daerah Langkawi. Program ini bermula pada jam 9.30 pagi dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Paduka Abu Bakar Bin Taib, Ahli Parlimen Langkawi. Turut hadir, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd. Rawi Bin Haji Abd. Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat.

Di dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Dato’ Paduka Abu Bakar menyeru kepada semua supaya menyemai sikap patriotik dan salah satu cara untuk menyemainya adalah melalui pengibaran Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang.

Kemuncak pada majlis tersebut Yang Berhormat Dato’ Abu Bakar bersama para tetamu diberi penghormatan untuk melekatkan Jalur Gemilang pada  kenderaan-kenderaan agensi KPKK. Puan Hajah Norizan Binti Lob, Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, di antara tetamu jemputan yang diberi penghormatan tersebut. Jalur Gemilang juga diedarkan kepada pengguna jalan raya yang melalui Jalan Padang Matsirat yang  bersebelahan dengan tapak majlis pelancaran program ini.



'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'