PULAU LANGKAWI, 14 September 2013  – Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah, dengan anjuran bersama Kompleks Kraf Langkawi,  Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi, Pejabat Penerangan Malaysia Daerah Langkawi serta Pusat Latihan Khidmat Negara Kem Lagenda Seri Negeri Langkawi dengan jayanya menganjurkan program “Festival Bimbingan Seni Dan Budaya (FBSB) Langkawi Dan Pusat Seni Setempat, Jikey 2013” bertempat di Dewan Teluk Yu, Kompleks Kraf Langkawi. Bagi memeriahkan lagi pengisian program yang dianjurkan ini, turut diadakan aktiviti ”Interaktif Kraf Perdana Bersama Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)”.
 
 
 

Tujuan utama diadakan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah yang terlibat untuk mengadakan persembahan sama ada tarian dan muzikal di dalam suasana program berbentuk festival di lokasi yang berprestij bagi memanifestasikan kebolehan dan kemahiran yang telah diperoleh selama enam (06) bulan. Sebanyak enam (06) perkumpulan mempertontonkan persembahan masing-masing iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Sekolah Menengah  Kebangsaan  Kedawang, Sekolah  Kebangsaan  Penghulu Ahmad, Sekolah  Menengah  Kebangsaan  Ayer Hangat, Sekolah  Menengah  Kebangsaan  Mahsuri dan Kumpulan Muzik Seri Mayang.

 
 
 

Program ini telah bermula seawal jam 8.00 pagi dengan dimulakan dengan aktiviti interaktif kraf yang melibatkan penyertaan seramai 216 orang wira dan wirawati. Aktiviti yang dijalankan adalah melukis dan mewarnakan batik serta anyaman kertas surat khabar. Program ini dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Marzuki Bin Haji Daud, Pegawai Pelajaran Daerah Langkawi. JKKN Negeri Kedah diwakili oleh Puan Fariza Binti Ahmad, Kompleks Kraf Langkawi diwakili oleh Encik Mohd. Khudzairi Bin Che Nordin, PLKN diwakili oleh Mejar Mohd. Hider Bin Abu Samah manakala Pejabat Penerangan Malaysia Daerah Langkawi diwakili oleh   Encik Dzulhardey Shah Bin Abdullah. 

 Pelbagai persembahan telah dipertontonkan kepada umum seperti tarian Inang Payung, kompang, tarian Walinong Sari, muzik pergendangan, nyanyian dan lain-lain lagi. Turut dipersembahkan adalah teater tradisional Jikey yang didatangkan khas dari Alor Setar, Kedah. Persembahan Jikey ini merupakan teater tradisional yang berasal dari Negeri Kedah khususnya Pulau Langkawi.

 
 
 
 
'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'