PROGRAM “MINGGU KRAF & BUDAYA 2012 2012” DI KOMPLEKS KRAF LANGKAWI MERIAH

PULAU LANGKAWI, 17 September 2012 – Kompleks Kraf Langkawi dengan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Kedah, Tourism Malaysia Kedah dan Pejabat ADUN Ayer Hangat Langkawi dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi serta LangkawiFM telah menganjurkan program tahunan iaitu “Minggu Kraf & Budaya 2012” selama tiga (03) hari mulai 15 – 17 September 2012 bertempat di Kompleks Kraf Langkawi mulai jam 10.00 pagi sehingga jam 6.00 petang.

Penganjuran program ini berkonsepkan community base iaitu semua aktiviti melibatkan penyertaan penduduk setempat. Objektif utama penganjuran program adalah untuk memperkenalkan kepada para pelancong dan penduduk setempat serta menghidupkan kembali keunikan kebudayaan, kraftangan, makanan dan kesenian masyarakat Pulau Langkawi.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang tiga hari penganjuran seperti persembahan daripada artis jemputan Ezad Exist, jualan dan demonstrasi kraf, pertandingan bertemakan majlis adat berendoi, demonstrasi masakan kuih tradisional, jualan makanan masyarakat setempat, interaktif kraf mewarna batik, lawatan berpandu, pelbagai pertandingan dan sebagainya. 

Majlis perasmian program ini telah diadakan pada 15 September 2012 (Sabtu) mulai jam 11.00 pagi bertempat di Dewan Teluk Yu, Kompleks Kraf Langkawi. Penganjuran majlis perasmian program ini bertambah meriah kerana ianya dijalankan serentak dengan majlis perasmian “Festival Bimbingan Seni & Budaya 2012” peringkat Daerah Langkawi.  Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Kedah telah memilih Kompleks Kraf Langkawi sebagai venue utama bagi penganjuran program tersebut. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Langkawi, Encik Halid Bin Ali. Turut hadir majlis perasmian ini, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd. Rawi bin Abd. Hamid (ADUN Ayer Hangat merangkap Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia), Encik Mazlan Bin Ahmad (Timbalan Pengarah JKKN Kedah) dan Encik Abdul Hadi Bin Che Man (Pengurus Tourism Malaysia Langkawi).

Pelbagai persembahan sempena majlis perasmian yang telah diadakan dengan penuh berwarna-warni daripada kumpulan Band Akustika dan tarian dari Kumpulan Kesenian JKKN Kedah dan juga sekolah-sekolah sekitar Pulau Langkawi.Dianggarkan lebih kurang 4,000 orang telah membanjiri Kompleks Kraf Langkawi pada hari pertama program ini. Pada hari pertama penganjuran program ini juga, turut diadakan pelbagai aktiviti pertandingan bertemakan majlis adat berendoi yang mendapat penyertaan menggalakkan daripada penduduk setempat iaitu Gubahan Pulut Kuning, Hiasan Buaian, Berendoi serta Gubahan Bunga Telur. Para pelancong dan pengunjung amat teruja dan kagum dengan hasil kerja yang telah ditunjukkan oleh para peserta.




















 
'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'