PULAU LANGKAWI, 31 Mac 2013  – Kompleks Kraf Langkawi telah menganjurkan program Promosi Kraf Malaysia 2013 bersempena dengan penganjuran program dwitahunan bertaraf antarabangsa iaitu LIMA 2013 (Langkawi Interantional Maritime & Aerospace Exhibition) mulai 26 sehingga 30 Mac 2013. Program promosi ini telah diadakan di lima lokasi yang dijalankan secara serentak iaitu di Kompleks Kraf Langkawi, Dewan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Dataran Meletak Kenderaan Kompleks LADA, Oriental Village (Cable Car) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Program ini melibatkan penyertaan seramai 17 usahawan dari luar Pulau Langkawi iaitu Kedah, Kelantan, Selangor, Sabah, Terengganu serta Melaka dan juga penyertaan usahawan-usahawan kraf dari Pulau Langkawi. 

Terdapat pelbagai lawatan daripada pihak kenamaan yang telah diadakan di Kompleks Kraf Langkawi sepanjang program tersebut berlangsung seperti lawatan daripada Timbalan Ketua Polis Negara, lawatan Isteri-Isteri Pegawai Tertinggi Angkatan Tentera Laut dan Udara Malaysia serta luar negara, lawatan Timbalan Jeneral Tentera Udara Filipina, lawatan Isteri-Isteri Pegawai Tertinggi Angkatan Tentera Udara Filipina dan lain-lain lagi.




Kompleks Kraf Langkawi juga turut menyertai aktiviti pameran dan promosi jualan di venue utama berlangsungnya LIMA 2013 iaitu di Dewan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC). Program tersebut bermula dari jam 10.00 pagi sehingga 5.00 petang. Syarikat atau usahawan kraf yang telah menyertai aktiviti ini adalah Faizy Crystal Glass Blowing Sdn. Bhd., Jafiqa Couture dan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. Aktiviti ini telah mendapat bantuan dan kerjasama daripada Bahagian Rekaan Ibupejabat.




Kompleks Kraf Langkawi turut menyertai program “Karnival Pelancongan LIMA 2013” anjuran Kementerian Pelancongan yang diadakan bermula dari jam 10.00 pagi sehingga jam 11.00 malam bertempat di Dataran Meletak Kenderaan Kompleks LADA. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Kesemua usahawan dari luar Pulau Langkawi serta usahawan Langkawi telah menyertai program ini untuk aktiviti promosi jualan. Program ini telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan artis terkenal, gerai jualan makanan, pameran agensi, demonstrasi masakan dan lain-lain lagi. 






Bagi mengambil kesempatan dia atas kemeriahan orang ramai berkunjung ke Pulau Langkawi, pihak Kompleks Kraf Langkawi telah mengadakan aktiviti promosi jualan di lokasi utama tumpuan para pelancong iaitu di Oriental Village (Cable Car). Pihak Kompleks Kraf Langkawi telah menjalin kerjasama dengan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk mengadakan program di tempat berkenaan. Program berkenaan telah bermula dari jam 10.00 pagi sehingga jam 6.00 petang dan disertai oleh kesemua usahawan dari luar Pulau Langkawi serta usahawan Langkawi.

Kompleks Kraf Langkawi turut mengambil bahagian mempromosikan Kompleks Kraf Langkawi dengan mewujudkan jaringan kerjasama di antara pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan mengadakan aktiviti pameran dan demonstrasi kraf di ruang balai ketibaan lapangan terbang.  Pihak Kompleks Kraf Langkawi telah mengadakan demonstrasi kraf tenunan songket, mencanting batik serta anyaman mengkuang. Aktiviti pameran tersebut telah mendapat bantuan dan kerjasama daripada Bahagian Rekaan Ibupejabat.


 
'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'