PULAU LANGKAWI, 27 Julai 2011 - Kompleks Kraf Langkawi bertuah kerana julung kalinya telah terpilih sebagai salah satu lokasi bagi misi penilaian semula "Langkawi Geopark 2011" di pulau lagenda berkenaan. Misi penilaian ini akan dilaksanakan setiap empat tahun sekali oleh pihak UNESCO (United Nation Educational, Scientific and Cultural Organization) bagi membolehkan Pulau Langkawi terus mengekalkan status Geopark sejak tahun 2007. Misi penilaian ini tidak hanya terhad kepada aspek geologi dan alam semulajadi sahaja, tetapi juga meliputi aspek-aspek lain seperti warisan, pelancongan, pendidikan dan juga komuniti. Kompleks Kraf Langkawi telah terpilih bagi misi penilaian ini dari segi aspek warisan dan pelancongan.

Urusetia yang mewakili Pulau Langkawi bagi misi ini adalah LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi) dan LESTARI (Institut Alam Sekitar & Pembangunan) Universiti Kebangsaan Malaysia. Seramai dua orang pegawai dari UNESCO telah ditugaskan untuk melaksanakan misi penilaian ini iaitu Dr. Richard Watson (Geopark Expert) dari Negara Ireland dan Dr. Mahito Watanabe (Geopark Expert) dari Negara Jepun.

Rombongan seramai 35 orang bagi misi penilaian ini telah tiba di Kompleks Kraf Langkawi pada jam 9.00 pagi dan disambut mesra oleh Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Puan Hajah Norizan Binti Lob serta barisan pegawai dan anggota kerja. Selama lebih satu jam para rombongan tersebut telah dibawa melawat ke bazar jualan, ruang niaga Karyaneka, pameran bertema tekstil dan congkak, muzium serta aktiviti demonstrasi. Penerangan telah disampaikan sendiri oleh Pengarah Kompleks Kraf Langkawi. Dr. Richard Watson telah memuji keindahan kompleks serta keunikan dan kepelbagaian produk kraf yang terdapat di situ. Para pegawai penilai UNESCO telah meluangkan masa hampir 10 minit untuk mencuba sendiri aktiviti interaktif kraf mewarna batik.

Dr. Richard Watson telah memaklumkan bahawa beliau akan datang kembali ke kompleks ini di masa hadapan bersama keluarga beliau. Beliau juga telah tertarik dengan keunikan produk kraf tempatan dan mengambil kesempatan ini untuk membeli beberapa produk kraftangan. Lawatan ini berakhir pada jam 10.15 pagi.

 
Keratan Akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Julai 2011





'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'