PULAU LANGKAWI, 19 November 2012 – Buat julung kalinya, Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. bersama Kompleks Kraf Langkawi menganjurkan majlis meraikan penggiat-penggiat industri pelancongan di Pulau Langkawi iaitu Malam Jalinan Mesra Bersama Karyaneka. Majlis ini diadakan pada jam 7.30 malam bertempat di Dewan Teluk Yu, Kompleks Kraf Langkawi. Seramai 250 orang tetamu jemputan hadir ke majlis ini.


Tujuan utama majlis ini diadakan untuk menghargai serta meraikan kerjasama dan sokongan penggiat-penggiat industri pelancongan seperti jabatan kerajaan, agensi swasta, pengusaha-pengusaha hotel, persatuan, media, NGO, usahawan kraf dan lain-lain pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung di dalam mendayamajukan Kompleks Kraf Langkawi serta industri kraf tempatan. Di samping itu juga, pihak Karyaneka turut memperkenalkan perkhidmatan terkini bagi memperluaskan lagi pasaran syarikat ini iaitu talian bebas tol.  Majlis diserikan dengan persembahan fesyen dengan memperagakan koleksi busana terkini daripada Karyaneka.

Encik Mansor Bin Abdul Latiff, Pengurus Besar Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. di dalam ucapannya memaklumkan bahawa terdapat empat lokasi jualan produk kraf Karyaneka yang terdapat di Pulau Langkawi ini iaitu Kompleks Kraf Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Butik OCAS di Oriental Village dan Kedai Mesra Petronas di Harbour Park. Karyaneka juga turut menyampaikan plaque penghargaan kepada yang memberikan sokongan dan kerjasama erat kepada Kompleks Kraf Langkawi dan juga Karyaneka di Pulau Langkawi. Pihak yang telah menerima penghargaan ini ialah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tourism Malaysia Kedah, Pacific World Destination Sdn. Bhd., Persatuan Pemandu Teksi Langkawi (PETEKMA), Persatuan Langkawi Tourist Guide Association (LTGA), Malaysia Tourist & Travel Agent Association Langkawi (MATTA) serta ramai lagi

 'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'