PULAU LANGKAWI, 15 April 2012 – Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Aris Othman, Pengerusi Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) bersama isteri, Yang Berbahagia Puan Sri Sherina Aris mencuba bakat yang selama ini terpendam iaitu mewarna batik. Ini adalah sebahagian daripada aktiviti oleh Yang Berbahagia Tan Sri bersama isteri ditemani beberapa pegawai MAHB Langkawi semasa berkunjung ke Kompleks Kraf Langkawi baru-baru ini. Beliau tiba di kompleks pada jam 9.00 pagi dimulakan dengan lawatan ke bengkel pembuatan produk kraf kristal iaitu Faizy Crystal Glass Blowing Sdn. Bhd.
Tetamu disambut mesra oleh Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Puan Norizan Binti Lob dan pemilik syarikat Faizy Crystal Glass Blowing, Encik Kamarul Faizy dan kagum dengan keistimewaan, keunikan serta keindahan produk-produk yang dihasilkan.  Seterusnya, tetamu dibawa mengunjungi bazar jualan, ruang jualan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., muzium-muzium, pameran bertema tekstil dan juga melihat aktiviti demonstrasi tenunan songket serta anyaman mengkuang. Yang Berbahagia Tan Sri merakamkan ucapan tahniah kepada Kompleks Kraf Langkawi yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelancong dan berharap  Kompleks Kraf Langkawi destinasi pelancongan unggul di Pulau Langkawi.








































'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'