PULAU LANGKAWI, 29 Januari 2013  – Majlis perpisahan diadakan bersempena dengan pertukaran penempatan bertugas Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Puan Norizan Binti Lob. Beliau akan bertukar ke Bahagian Strategi Korporat, Kraftangan Malaysia Ibu pejabat berkuat kuasa pada 01 Februari 2012. Tempat beliau akan digantikan oleh Yang Mulia Tengku Azrul Hisham bin Tengku Abdullah sebagai Pengarah Kompleks Kraf Langkawi yang baru. Tujuan utama diadakan majlis ini adalah untuk menghargai jasa, bakti serta pengorbanan yang telah beliau curahkan di dalam memajukan Kompleks Kraf Langkawi.
 

Majlis ini diadakan di Dewan Teluk Yu, Kompleks Kraf Langkawi pada jam 12.00 tengah hari dan  dihadiri seramai 70 orang termasuk pegawai dan anggota kerja Kompleks Kraf Langkawi, usahawan kraf Langkawi, anggota kerja Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., peniaga serta penyewa bazar. Turut hadir di dalam majlis berkenaan, Yang Berbahagia Datin Paduka Siti Zaliha binti Mat Gelam, isteri kepada Ahli Parlimen Langkawi dan juga pengurus bagi Syarikat Lawer De’ Craft yang merupakan usahawan produk kraf anyaman mengkuang di bawah program Satu Daerah Datu Industri (SDSI) di Pulau Langkawi ini.


Di dalam ucapan Puan Norizan bersempena majlis berkenaan, beliau dengan bersemangat meminta supaya semua warga Kompleks Kraf Langkawi berusaha dengan lebih kuat, bersemangat dan proaktif di dalam mempromosi serta mendaya majukan Kompleks Kraf Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terkemuka di Pulau Langkawi ini. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang selama ini turut bekerjasama di dalam menjayakan program dan aktiviti yang dianjurkan atau disertai oleh Kompleks Kraf Langkawi. 

 
'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'