PULAU LANGKAWI, 30 Mac 2013  – Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Khalid Bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara bersama isteri, Yang Berbahagia Puan Sri Datin Sri Imran Binti Ibrahim telah mengadakan lawatan ke Kompleks Kraf Langkawi baru-baru ini. Beliau turut diiringi oleh Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Bin Abdullah. Rombongan berkenaan telah tiba di Kompleks Kraf Langkawi kira-kira pada jam 10.30 pagi. Lawatan beliau ini adalah untuk mengambil kesempatan bersempena dengan penganjuran program bertaraf antarabangsa iaitu LIMA 2013 (Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition) yang telah diadakan di Pulau Langkawi mulai 26 sehingga 30 Mac baru-baru ini.  

  

Rombongan berkenaan telah dibawa melawat ke seluruh dalaman kompleks termasuklah muzium, bazar jualan, ruang jualan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. dan lain-lain lokasi. Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri bersama isteri juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba bakat dalam bidang kraf iaitu mewarna batik. Mereka telah meluangkan masa hampir satu jam di dalam aktiviti ini.

Seterusnya para rombongan ini dibawa pula melawat ke bengkel pembuatan produk kraf kristal, Faizy Crystal Glass Blowing Sdn. Bhd. Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri bersama isteri kelihatan begitu teruja dan kagum apabila melihat proses pembuatan produk kraf kristal. Mereka juga telah meluangkan masa hampir satu jam bagi mengambil kesempatan ini untuk membeli-belah pelbagai produk kraf kristal yang terdapat di sini. Lawatan ini berakhir kira-kira pada jam 1.30 petang.
 
 
'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'