PULAU LANGKAWI, 23 Februari 2013 – Kompleks Kraf Langkawi dengan anjuran
bersama Pejabat Penerangan Daerah Langkawi serta Pusat Latihan Khidmat Negara
(PLKN) Kem Lagenda Seri Negeri, Langkawi dengan jayanya telah menganjurkan program
“Program Interaktif Kraf Perdana & Khidmat Komuniti (Lawatan Sosial)
Bersama Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)” bertempat di Kompleks
Kraf Langkawi. Tujuan utama dianjurkan program ini adalah untuk memberi
pendedahan kepada para wira-wirawati PLKN menyedia serta menyiapkan produk kraf
tempatan. Aktiviti interaktif kraf yang dijalankan adalah mencanting dan
mewarna batik, menganyam bakul surat khabar dan juga menghias rangka wau
tradisional. Program ini telah melibatkan penyertaan paling ramai peserta sejak
program ini diperkenalkan pada tahun 2011 iaitu seramai 384 orang pelatih PLKN.
Program ini telah bermula seawal jam 8.00 pagi dengan
dimulakan dengan aktiviti senam seni 1Malaysia bertempat di Dataran Tangga
Seribu. Aktiviti diteruskan dengan program perasmian bermula pada jam 8.30 pagi
dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd. Rawi Bin Abd. Hamid, Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat merangkap Ahli Lembaga Pengarah
Kraftangan Malaysia. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Encik Mohd. Khudzairi
Bin Che Nordin, Timbalan Pengarah, Kompleks Kraf Langkawi. Yang Berhormat Tuan
Haji Mohd. Rawi di dalam ucapannya, beliau mencadangkan supaya pihak Kompleks
Kraf Langkawi mengadakan lebih kerap program kerjasama dengan pihak PLKN bagi
memberi pendedahan berkenaan keindahan dan keunikan seni kraf warisan bangsa. Para
wira-wirawati turut mempersembahkan persembahan Gempur Tanpa Senjata (GTS) yang
amat menarik dan mendebarkan.
Turut hadir di dalam majlis berkenaan, Yang Berusaha
Mejar (B) Zainudin Bin Abd. Zawawi, Timbalan Komandan PLKN serta Encik Saiful Haidar Bin Salleh, mewakili Pegawai Penerangan
Daerah Langkawi. Seterusnya,
para wira-wirawati telah dibawa ke Dewan Teluk Yu untuk dimulakan aktiviti
interaktif kraf. Taklimat aktiviti telah disampaikan oleh Encik Muhamad Razib
Bin Saruddin, Ketua Unit Pemuliharaan Kraf. Setiap hasil kerja yang telah
disiapkan oleh para peserta akan dinilai oleh para pengajar untuk diberikan hadiah
bagi tiga tempat terbaik untuk setiap bidang. Mejar (B) Zainudin di dalam
ucapan penutupnya, berharap semoga program sebegini dapat diteruskan di
masa-masa akan datang kerana ianya mendatangkan banyak manafaat dan faedah
kepada para peserta. Pihak Kompleks Kraf Langkawi turut menyediakan sijil
penyertaan untuk semua para peserta program ini. Program ini telah berakhir
kira-kira pada jam 1.30 tengahari.
0 komen:
Post a Comment